06 Oktober 2008

UJIAN KECERGASAN - SEGAK

Pengenalan

Program penilaian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) ini dirancang selari dengan tunjang kecergasan yang terkandung dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Sekolah Rendah dan Menengah.

Menurut Falls (1980), kecergasan untuk kesihatan merangkumi aspek yang berkaitan dengan fungsi fisiologi dan psikologi yang dipercayai memberi individu perlindungan daripada ancaman penyakit hipokinetik (kekurangan pergerakan) seperti penyakit jantung, obesiti dan pelbagai penyakit otot dan tulang. Kecergasan untuk prestasi pula merujuk kepada fungsi dan keupayaan individu untuk bertanding dalam aktiviti sukan dengan bertenaga, berdaya kuasa, kekuatan, berdaya tahan, kemahiran dan sebagainya.

Gaya hidup masyarakat Malaysia kini bertambah sedentari. Kecergasan yang optimum boleh membantu murid dalam melaksanakan aktiviti harian dengan cekap dan berkesan tanpa berasa letih. Selaras dengan itu, satu aktiviti kecergasan yang terancang perlu dilaksanakan dengan sempurna mengikut prosedur yang ditetapkan bagi setiap item ujian dan dinilai mengikut norma yang telah ditetapkan. Dengan ini, satu penilaian yang standard dapat diukur.

SEGAK mula diilhamkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2005. Ujian ini dirancang untuk dilaksanakan sepenuhnya kepada murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 mulai sesi persekolahan tahun 2008. Pelaporan hasil SEGAK akan menjadi komponen kecergasan kepada penilaian berasaskan sekolah.

Rekod penilaian kecergasan memberi maklumat tentang tahap kecergasan murid. Ujian yang dijalankan secara sistematik wajib diadakan dua kali setahun dan diharap dapat memotivasikan murid mengamal gaya hidup sihat. Murid akan lebih bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kesejahteraan negara selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah merealisasikan Wawasan 2020.

Matlamat


Murid sentiasa peka, berpengetahuan dan mengamalkan aktiviti kecergasan untuk meningkat dan mengekalkan tahap kecergasan fizikal berasaskan kesihatan yang optimum.

Objektif
Murid dapat :
1. mengukur dan merekod tahap kecergasan fizikal;
2. menganalisis dan mentafsir kecergasan fizikal kendiri;
3. mengetahui tahap kecergasan kendiri;
4. merancang dan melakukan tindakan susulan; dan
5. mencapai tahap kecergasan yang diiktiraf berdasarkan prestasi semasa.



Strategi Pelaksanaan Ujian SEGAK


1. Semua murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 wajib menjalani ujian-ujian kecergasan fizikal yang dicadangkan dalam buku panduan ini.
2. Prosedur dan teknik ujian hendaklah mengikut peringkat umur, keupayaan murid dan mengambil kira peralatan serta tempat ujian dijalankan.
3. Umur murid dikira pada 1 hb. Januari untuk rujukan norma.
4. Ujian ini boleh dijalankan semasa atau di luar waktu pengajaran Pendidikan Jasmani. Ujian ini juga mesti dilengkapkan pada hari yang sama.
5. Murid digalakkan membuat ujian secara individu, bersama rakan atau keluarga mereka.
6. Ujian ini terdiri daripada dua bahagian iaitu;
6.1 Ukuran Indeks Jisim Badan dan
6.2 Bateri ujian fizikal.
7. Ukuran antropometrik untuk mendapatkan Indeks Jisim Badan perlu dibuat sebelum melakukan ujian ini.
8. Bateri ujian fizikal mesti dilaksanakan mengikut urutan secara berterusan oleh murid yang sama seperti berikut;
8.1 Naik Turun Bangku ( 3 minit ) mengikut 96 detik seminit
8.2 Tekan Tubi ( 1 minit )
8.3 Ringkuk Tubi Separa (1 minit ) mengikut 50 detik seminit
8.4 Jangkauan Melunjur
Urutan ini perlu dipatuhi atas faktor fisiologi.
9. Ujian ini perlu dilaksanakan dua kali setahun pada bulan Mac dan Ogos.
10. Bagi murid yang tidak sihat, guru boleh menjalankan ujian pada hari yang lain pada bulan yang sama.

Langkah-langkah Pelaksanaan
1. Taklimat kepada murid tentang SEGAK
2. Mengukur Indeks Jisim Badan
3. Aktiviti memanaskan badan.
4. Pelaksanaan Bateri Ujian
5. Aktiviti menyejukkan badan

Aspek Keselamatan

1. Murid dikecualikan daripada mengambil ujian ini jika :
(a) disahkan oleh Pegawai Perubatan tidak layak mengambil ujian kecergasan fizikal;
(b) mengidap penyakit kronik; dan
(c) tidak sihat pada waktu ujian.
2. Alatan ujian yang digunakan mesti lengkap, selamat dan berfungsi dengan baik.
3. Kawasan ujian mesti selamat dan sesuai dengan jenis ujian yang hendak dijalankan.
4. Murid memakai pakaian Pendidikan Jasmani.
5. Pengawasan guru diutamakan semasa ujian dilaksanakan.
6. Murid melakukan aktiviti memanaskan badan sebelum menjalani ujian dan menyejukkan badan selepas ujian dilaksanakan.

Peralatan
1. Pengukur tinggi
2. Penimbang berat
3. Borang skor
4. Bangku - Ketinggian 30.5 cm ( 1 kaki)
5. Jam Randik
6. Rakaman metronome (96 detik seminit)
7. Radio CD
8. Kawasan lapang dan rata.
9. Span ( 5 cm lebar x 15 cm panjang x 10 cm tinggi).
10. Tilam senaman
11. Pita lekat bersaiz 2.5 cm
12. Pita ukur
13. Metronom 50 dsm
14. Pelapik getah
15. Penanda 15 cm seperti pensel, lidi atau straw minuman
16. Alat pengukur jangkauan

Nota Untuk Guru
1. Merancang tarikh ujian
2. Menyediakan tempat, alatan dan borang
3. Memastikan aspek keselamatan
4. Mentadbir ujian
5. Mengesahkan hasil ujian
6. Merekod ujian dalam sistem maklumat murid
7. Menganalisa hasil ujian
8. Melaporkan hasil ujian dalam buku rekod kemajuan murid

05 Oktober 2008

SKIMA JAWAPAN PJPK

Dapatkan skima jawapan PJPK peperiksaan akhir tahun diruangan ini pada 23 Oktober 2008